Kerajaan Kedah tidak mengkaji semula atau menangguhkan kenaikan cukai baru tanah yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Ismail Hamid berkata, ini kerana kadar tersebut didapati bersesuaian dengan nilai hartanah masa kini.
Menurutnya, kerajaan negeri telah menjalankan kajian terperinci sejak setahun lalu sebelum mengambil keputusan untuk menaikkan kadar tersebut.
``Berbanding negeri lain, cukai baru tanah di Kedah masih rendah dan selaras dengan harga tanah pada masa ini.
``Tidak timbul isu untuk mengkaji semula atau menangguhkan dahulu pelaksanaannya,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Kedah di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Pada 18 Januari lalu, kerajaan negeri mengumumkan kenaikan kadar cukai tanah antara 20 hingga 156 peratus berkuat kuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2015.
Menurut Menteri Besar, Datuk Mahdzir Khalid, keputusan itu dibuat kerana kerajaan negeri tidak pernah membuat sebarang semakan terhadap kadar tersebut sejak 10 tahun lalu.
Kali terakhir semakan dibuat ialah pada 1994.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan permintaan rakyat negeri ini terutama golongan pesawah supaya kerajaan Kedah mengkaji semula atau menangguhkan dahulu pelaksanaan keputusan tersebut.
Mereka menyifatkan kenaikan berkenaan membebankan selain amat mengejutkan dan dibuat tanpa asas yang kukuh.
Ismail berkata, rungutan segelintir rakyat negeri ini yang kurang berpuas hati mengenai kenaikan tersebut timbul kerana wujudnya salah faham mengenai keputusan itu.
Oleh itu katanya, kerajaan negeri telah menjalankan kempen bagi memberi penerangan kepada orang ramai supaya mereka memahami isu kenaikan kadar tersebut.
Menurut Ismail, kempen itu dijalankan oleh semua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Pejabat Tanah Daerah (PTD) di setiap kawasan.
``Memang diakui maklumat mengenai kenaikan tersebut lewat dimaklumkan kepada orang ramai walaupun ia telah diputuskan sejak setahun lalu dan kempen telah pun bermula sejak minggu lepas,'' katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, pihaknya menjangkakan nilai kutipan cukai tanah di negeri ini meningkat RM20 juta tahun ini.
No comments:
Post a Comment