UTUSAN MELAYU
ALOR STAR 18 Jan. - Kerajaan negeri Kedah menaikkan kadar cukai tanah antara 20 peratus dan 156 peratus kepada lebih 643,839 pemilik tanah di negeri ini berkuat kuasa awal tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Mahdzir Khalid berkata, keputusan tersebut dibuat selepas tiada sebarang semakan dilakukan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri sejak 10 tahun lalu.
``Kenaikan taraf hidup termasuk kewujudan 20 bandar berbanding hanya tujuh bandar di negeri ini mewajarkan semakan semula itu dilakukan,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Mahdzir memberitahu, antara kenaikan cukai tanah paling tinggi melibatkan pemilik rumah banglo di kawasan bandar iaitu sebanyak RM150 setahun berbanding RM50 sebelum ini.
``Bagi pemilik rumah berkembar setingkat di kawasan bandar, mereka dikenakan cukai sebanyak RM100 berbanding hanya RM40 sebelum ini,'' katanya.
Menurut beliau, pemilik tanah sawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dikenakan cukai tanah sebanyak RM9 sehektar berbanding RM6 sehektar setiap tahun.
Katanya, pemilik tanah sawah di luar kawasan MADA pula dikenakan cukai sebanyak RM7 sehektar berbanding RM5 sehektar.
``Bagi kawasan tanaman getah yang berada di dalam bandar, kita mengenakan cukai baru sebanyak RM19 sehektar manakala di luar bandar pula ialah sebanyak RM16 sehektar.
``Sebelum 1 Januari 2006, mereka perlu membayar sebanyak RM16 bagi kedua-dua kawasan tanaman getah sama ada di bandar atau desa,'' jelasnya.
Sementara itu, Mahdzir memberitahu, bagi pemilik bangunan kurang tiga tingkat, mereka dikehendaki membayar RM150 setahun manakala bangunan lebih tiga tingkat, sebanyak RM800 setahun berbanding RM150 setahun.
Jan 19, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment